Projek Lebuh Raya Pan Borneo diteruskan walau ekonomi terhimpit: Najib

SERIAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini memberi jaminan bahawa Projek Lebuh Raya Pan Borneo tetap akan dilaksanakan mengikut jadual biarpun negara dilanda cabaran tertentu, terutamanya himpitan ekonomi.

Menurutnya, menjadi keutamaan dan komitmen penting kepada kerajaan untuk menjayakan pembinaan infrastruktur mega itu, bagi menepati Akujanji Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Pada masa.yang sama, ia juga bertujuan untuk menjaga kepentingan kemajuan Sarawak dan Sabah bagi tempoh jangka panjang, katanya.

” Harga minyak jatuh merundum. Harga komoditi juga jatuh. Namun, projek lebuh raya ini tetap kita laksanakan seperti yang dirancang.

” Kita berusaha sebaik mungkin menyempurnakan impian yang selama ini dinanti-nantikan oleh rakyat Sarawak dan Sabah,” tegasnya semasa merasmikan kerja-kerja pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak: Jajaran Bulatan Serian – Simpang Pantu, di sini pagi tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut Najib, projek kejuruteraan terbesar Borneo juga memperlihatkan keupayaan kerajaan BN menepati janjinya kepada rakyat.

” Apa yang kita janjikan, kita berusaha sebaik mungkin untuk menunaikannya… tidak seperti pembangkang. Oleh itu kiya harus meneruskan sokongan kepada kerajaan sedia ada bagi memastikan projek ini berterusan,” katanya.

Perasmian pakej ini merupakan pakej ketiga daripada 10 pakej pembinaan yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

Sambil berseloroh, dia akan berkunjung setiap bulan ke Bumi Kenyalang bagi merasmikan pakej-pakej lebuh raya ini.

Pakej Kajaran Bulatan Serian – Simpang Pantu membabitkan jarak sepanjang 75 kilometer dengan kos pembinaan sebanyak RM1.46 bilion.

Dua pakej terdahulu membabitkan Jajaran Simpang Bakun – Simpang Nyalau di Bintulu dan Jajaran Telok Melano – Sematan di Kuching.

Najib yang juga Pengerusi BN Pusat, berkata, projek lebuh raya impian ini juga disifatkan sebagai ‘ejen perubahan’ terhadap pembangunan negeri ini, sekali gus menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi rakyat.

“Ia lebih daripada sekadar lebuh raya. Ia adalah ‘game changer’ yang mampu mengubah landskap pembangunan dan ekonomi negeri.

” Kita mempunyai visi dan misi untuk membantu Sarawak mencapai status negeri maju dan ini sebahagian daripada usaha untuk mendokong impian itu,” katanya.

Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak bernilai kira-kira RM16 bilion ini merupakan lebuh raya pertama di negara ini yang bebas daripada konsesi tol.