Dayak marah, kecam Adenan kerana lawak minta Najib bini Iban

KUCHING: Kisah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem secara berseloroh meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencari isteri dalam kalangan masyarakat Iban mendapat kecaman Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) hari ini.

Meskipun gurauan Adenan bertujuan membolehkan Najib fasih berbahasa Iban, namun ucapan yang disiarkan secara langsung oleh RTM 1 itu dianggap sensitif dan menghina wanita Iban oleh persatuan tersebut.

adenan lawak najib 2“Kenyataan Adenan memalukan dan beliau harus mohon maaf kepada Kaum Dayak khususnya Orang Iban,” kata PEDAS menerusi Setiausahanya, Bill Kayong dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media massa dan beberapa akaun media sosial.

Tulis Kayong: “Saya merasakan sebagai KM Sarawak, Adenan dan ketua nombor satu negeri ini beliau tak seharusnya mengeluar kenyataan seperti itu.”

Menurutnya, ia seolah-olah satu penghinaan kepada kaum hawa daripada masyarakat Iban.

“Adakah Adenan ingin menguji kesabaran orang Iban dengan kenyataan beliau ini?”

“Jika masyarakat Iban tidak peka secara negatif dengan kenyataan beliau, maka beliau akan menganggap keseluruhan masyarakat Iban setuju dengan kenyataan beliau walaupun bagi Adenan ia hanyalah sekadar gurauan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, tegas Kayong, beliau membantah serta mengecam gurauan terbuka Adenan dalam majlis rasmi seperti yang telah berlaku.

“Beliau harus mengakui kesilapan besar beliau ini yang kita anggap sebagai satu penghinaan terbuka kepada masyarakat kaum Iban.

“Beliau harus bukan sahaja menarik balik kenyataan beliau itu malah beliau harus memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat kaum Iban serta-merta,” desaknya.

Kayong berkata, PEDAS juga mahu dan menyeru NGO-NGO lain khususnya NGO Dayak(SIDS) tampil sejiwa senada bersama Pedas untuk mengecam dan meminta KM mohon maaf dengan kadar segera.

Adenan terkenal dengan gurauannya. Hampir setiap ucapannya diselitkan dengan humor, bagi menggeletek khalayak.

Bagi mereka yang kenal perwatakan Adenan, mereka tidak hairan dengan jenakanya meskipun ada yang menyifatkannya sebagai melampau dan tidak sensitif.

Pada Sabtu lalu di satu majlis di Kuching, sekali lagi beliau cuba berlawak jenaka. Beliau berkata bahawa Perdana Menteri telah sering ke Sarawak. Sebenarnya Datuk Seri Najib Razak telah berkunjung 47 kali ke negeri ini, dan begitu mengenali Sarawak.

Menurut Ketua Menteri yang menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu Sarawak dan bahasa Iban, beliau begitu bangga dengan Najib kerana sering ke Sarawak.

“Semua pelosok Sarawak beliau dah pergi. Beliau dapat bercakap dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris, tetapi bukan dalam bahasa Iban,” katanya.

“Saya telah nasihati beliau untuk mendapatkan isteri baharu, carilah wanita Iban. Itu gurauan saja. Gurauan saja.” katanya dalam bahasa Iban, sambil orang ramai gelak ketawa.

Namun, bukan semua orang selesa dengan gurauan itu. Beliau diserang, meskipun ada yang mempertahankan Adenan di alam maya

Seorang aktivis sosial Norina Umoi Utot kecewa dengan jenaka dikongsikan Adenan melalui siaran langsung TV1 itu.

“Ia sesuatu yang tidak menghormati bukan saja terhadap wanita Iban, tetapi wanita Dayak pada keseluruhannya,” katanya seperti dilapor Borneo Post hari ini.

“Saya ingin merakamkan kekecewaan saya tentang lawak itu. Kami wanita Iban bukan barang dagangan meskipun majoriti kami masih lagi terpinggir dari segi ekonomi,” katanya.

Difahamkan Norina merupakan calon yang bakal bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) di N32 Simanggang dalam pilihan raya negeri nanti. – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA: 

Saya dengan rendah hati memohon maaf – Adenan

Screen Shot 2016-03-14 at 5.56.37 PM