4.5 juta pelancong belanja RM9 bilion di Sarawak tahun lalu: Abang Johari

SIBU: Sektor pelancongan terus mengukuh sebagai industri penting Sarawak apabila memberi pulangan lumayan hingga mencecah RM9 bilion pada tahun lalu.

Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, jumlah ini merupakan 13 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak sepanjang tempoh tersebut.

” Dengan mencatatkan 4.5 juta kedatangan pelancong pada tahun lepas, ternyata sektor ini membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

Oleh itu, katanya, kerajaan negeri dan persekutuan kini memberi fokus dan memberi penekanan lebih kepada industri ini, termasuk dengan menggazetkan lebih banyak lokasi khazanah alamnya sebagai taman negara.

” Biarpun dinaik taraf sebagai taman negara, kita juga membuka pintu kepada para penyelidik dan pencinta alam untuk hadir ke sini, ” katanya ketika melancarkan Tahun Melawat Sibu 2017 di Dataran Sibu, malam tadi

Lebih 80 ribu pengunjung membanjiri dataran tersebut bagi menyaksikan pelancaran tersebut.

Pada masa yang sama, pihak penganjur turut mengumumkan maskot Tahun Melawat Sibu yang dikenali sebagai Bubu, atau Bujang Sibu.

Abang Johari berkata, bagi menjayakan industri ini, kerajaan negeri turut menyalurkan dana untuk melengkapi taman-taman negara sedia ada dengan pelbagai fasiliti menarik.

” Antara langkah yang àdiambil termasuklah menjalinkan kerjasama dengan negara-negara luar untuk merancakkan lagi promosi pelancongan mengenai Sarawak.

Menyentuh tentang Sibu, Abang Johari berkata, bandar tersebut mampu menjadi hab pelancongan yang wajib dikunjungi kerana ia memiliki banyak produk pelancongan yang belum diterokai sepenuhnya.

” Pembangunan mega seperti Lebuh Raya Pan Borneo dan Jalan Sibu-Kanowit-Kapit akan menambahmudahkan perjalanan ke sini.

” Manakala perancangan sebagai sebuah bandar raya akan menjadikan Sibu sebagai pintu gerbang ke wilayah tengah Sarawak, yang pasti merancakkan lagi sektor pelancongan di kawasan tersebut.

Katanya, dengan siapnya Jalan Sibu-Kapit nanti, ia akan menjadi akses kepada pengunjung bagi menikmati pemandangan tanah-tanah berbukit yang dikelilingi landskap indah.

“Jalan yang dibina di tengah-tengah kekayaan alam semula jadi di kawasan Kapit ini, amat sesuai dibangunkan produk pelancongan, sama seperti di New Zealand.

Katanya, jika di New Zealand hotel dibina di sepanjang jalan, beliau mencadangkan rumah-rumah panjang yang ada di sepanjang jalan itu nanti dibangunkan sebagai inap desa untuk para pelancong.

Abang Johari turut berharap Majlis Perbandaran Sibu meneruskan acara-acara unik di Sibu seperti Sibu BASE Jump, Festival Kebudayaan Sibu dan Festival Tarian Antarabangsa Sibu bagi meningkatkan kehadiran pelancong ke wilayah ini.

Pada majlis tersebut, Abang Johari yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem mengumumkan geran RM200 ribu kepada pihak MPS untuk menggerakkan program pelancongan di bandar tersebut.