Ahmad Said mantan MB Terengganu yang saya kenal

Dalam dua minggu ini, ini kali kedua kita mendengar  istilah gila talak digunakan. Kalau minggu lepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggunakannya bagi merujuk mantan menteri yang suka beri komen, dan menyifatkan tindakan kerajaan menangguhkan pengambilan pekerja Bangladesh, sebagai pusingan U.

Maka semalam, seorang lagi menteri menggunakan istilah yang sama apabila merujuk tindakan mantan menteri besar Terengganu Datuk Ahmad Said mempersoal alasan berkaitan notis awal digunakan bagi mengemukakan usul tidak percaya terhadap penggantinya Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Usul beliau tentu ditolak, dan tidak diberi perhatian. Malah persidangan ditangguhkan terus ke pagi ini.  

“Kalau notis, I nak bunuh you, bagi notis 14 hari?” soalnya, dipetik semua media sebagai berkata.

Speaker DUN menolak usul itu dan berkata kebenaran speaker diperlukan jika notis 14 hari dikecualikan.

Speaker Datuk Mohd Zubir Embong  disifatkan oleh Ahmad Said telah salah guna kuasa sebab peraturan dewan tak boleh mengatasi perlembagaan.

Apakah tindakan Ahmad Said seterusnya? Adakah ADUN Kijal itu akan ikut jejak langkah mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad?

Sukar membaca fikiran dan tindakan beliau itu.

Secara peribadi saya kenal Ahmad Said ketika menuntut di Universiti Sains Pulau Pinang pada awal 80-an dahulu. Kadangkala kami minum dan makan di kantin yang sama di asrama berkenaan. Hubungan saya dengan beliau agak rapat dan mesra. Tetapi sejak beliau menjadi ahli politik dan menjadi MB, saya tidak lagi hubungi beliau.

Kami tinggal di asrama yang sama, yang kami gelar Hilton, kerana bangunannya tinggi seperti hotel lima bintang itu. Memang, takkan beliau hendak beritahu, kerana kalau beritahu, itu bukan lagi strategi politik. Tetapi daripada jawapannya, pasti beliau akan ambil tindakan drastik.

Ini  babitkan soal dendam dalam politik

Beliau tidak bimbang dengan tindakan  bakal diambil UMNO, kerana beliau sudah memperhitungkannya.

Kemukakan usul tidak percaya dalam Dewan, sesuatu yang serius. Biasanya pihak musuh atau pembangkang yang lakukannya. Tentu Ahmad Razif tersentak dengan tindakan Ahmad yang dilantik sebagai menteri besar pada 2008.

“Kalau (Umno) nak pecat, gantung, terpulang, dia berkuasa. Dia kan ada kuasa, dia buatlah,” katanya kepada media semalam.

Ahmad jelas kecewa dan memendam rasa selama dua tahun selepas beliau digugurkan daripada jawatan itu, dan diganti Ahmad Razif.  Ahmad terpaksa melepaskan jawatan pada Mei 2014, digantikan Ahmad Razif.

Kemelut politik berlaku, tetapi segera dapat diredakan.

Ahmad Said bersama ADUN Ajil Ghazali Taib mengisytihar keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas. Ahmad bertindak agresif dan drastik kerana dikatakan dimalukan.

Ya, pengunduran itu dipaksakan ke atasnya menjelang hari penting majlis perkahwinan anaknya.  Ketika itu, BN menguasai 17 kerusi DUN,  PAS 14 kerusi dan PKR 1 kerusi.

Ahmad berkata beliau telah memohon kepada Perdana Menteri supaya menangguhkan pertukarannya selepas majlis perkahwinan anaknya pada 17 Mei 2014.

Screen Shot 2016-03-09 at 9.09.56 AM

Ahmad berkata, beliau sudah lama bekerja dengan UMNO. Malah, sudah beritahu PM bahawa anaknya kenduri kahwin pada 17 Mei. Bagi beliau itu babitkan maruah dan air muka. Tindakan Najib Razak bagai menjatuhkan harga dirinya.

“PM kata itu soal peribadi. Jadi saya beritahu, kalau saya keluar (parti), jangan salahkan saya,” katanyaketika itu.

Mengapa bawa isu peribadi dan perkahwinan, beliau dipetik sebagai berkata: “Saya ada prinsip. Anak saya nak kenduri, kalau boleh bagi kenduri selesai. Tapi jadi begini.”

Ahmad berkata tindakan itu berpunca daripada salah faham berhubung tarikh perkahwinan anak perempuannya yang akan berlangsung 17 Mei ini.

Beliau mendedahkan dia dan PM Najib sudah saling memaafkan. Tetapi, itu rupanya hanya seketika. Dendamnya belum berakhir.

“Kami saling meminta maaf… perdana menteri ingat 10 Mei sudah selesai (perkahwinan anak), tetapi masih ada lagi (majlis) pada 17 Mei.

“Ini melibatkan maruah, saya meletakkan jawatan. Dan akhirnya sebagai pemimpin besar perdana menteri juga akui sama ada sedar atau tidak,” katanya.

Tetapi rupa-rupanya keluarnya beliau dari UMNO hanya gertakan. Beberapa hari kemudian, beliau kembali ke pangkuan UMNO.

Dia merajuk, dan selepas dipujuk tidak lain daripada presiden parti, maka dia puas seketika. Rajuk anak kecil. Diberi gula, puaslah ia.  

Beliau malah mengambil keputusan drastik keluar Umno, tetapi untuk kemudiannya kembali ke pangkuan parti Melayu itu,

Tindakan  Ahmad kemukakan ‘usul’  berkenaan disifatkan sebagai ‘gila talak’ oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Azalina Othman Said. Mantan menteri besar itu mengikut beliau, akan lakukan apa-apa sahaja untuk menyandang jawatan itu semula.

“Semua orang tahu Ahmad itu gila talak. Dia akan cuba sampai dia dapat. Tetapi itu hak dia sebagai Adun,” katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai isu itu selepas menjadi tetamu program Dalam Radar terbitan Bernama Radio24 di sini, semalam.

“Dulu jadi MB (menteri besar), memanglah dia gila talak, dia akan buat segala-galanya untuk jadi MB,” kata Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.


Ada kejutan lagi yang bakal diambil Ahmad pada hari-hari mendatang. Politik Malaysia bertambah berwarna-warni dengan watak berwarna-warni seperti Ahmad. Yang penting, jangan agenda peribadi atasi agenda  parti dan negara.

Perang antara Ahmad Razif, tidak akan berakhir. Ini soal maruah dan ego pemimpin politik, antara MB yang kini duduk di atas kerusi nombor satu itu, dengan yang telah tersungkur.

Hari ini tadi, Ahmad Razif memperagakan warna dan wataknya. Mana mungkin beliau mahu menyerah kalah  Sesiapa pun tidak akan mahu tunduk kepada gugatan dan ugutan menjatuhkannya dari kerusi penting itu.

“Kepada mereka yang ingin jatuhkan saya dengar baik-baik. Saya tak takut dan saya tak akan tunduk. Biar berdepan cabaran menggunung, biar tiba tentangan hebat, saya tak akan menyerah kalah,” katanya penuh semangat dengan menggunakan bahasa yang sarat dengan metafora.

“Biar mati berkalang tanah, biar ada yang berpaling tadah, saya tidak akan mengalah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini. Antara perancangan manusia lawan perancangan Allah, perancangan Allah adalah yang terbaik,  dan kepada Allah beliau berserah,”katanya, cuba mempertahankan diri.

Ini bukan lagi perang antara dua Ahmad atau perang antara mantan MB dengan MB yang berkuasa, tetapi perang kuasa yang punya implikasi dan kesan mendalam bukan sahaja terhadap UMNO, tetapi nasib BN dalam pilihan raya umum 2018 nanti. – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA:

Saya akan lawan!, kata Menteri Besar Terengganu

1 COMMENT

Comments are closed.