KUCHING: Kisah sedih pelari pecut negara, dan pemegang rekod kebangsaan 100 meter,Watson Nyambek yang diisytihar muflis minggu lalu kerana menanggung hutang perubatan mendiang ayahnya menarik perhatian dan simpati Pemuda Barisan Nasional Sarawak, hari ini.

Dalam kenyataan kepada media sebentar tadi, Pengerusi Pemuda BN Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusuf berkata, pihaknya akan mengatur perjumpaan dengan Watson dalam tempoh terdekat bagi memahami masalah yang beliau hadapi.

” Kita akan mencari jalan bagaimana Pemuda BN Sarawak boleh membantu beliau,” jelasnya.

Tindakan ini katanya, sebagai menghargai jasa dan pengorbanan anak jati Sarawak dalam mengharumkan nama Bumi Kenyalang, dengan rekod kebangsaan yang dipegangnya bagi acara 100m dengan catatan 10.30s masih kekal sejak 1998.

Watson, 40, dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan semalam menanggung hutang lebih RM100,000 dengan sebuah bank bagi membiayai kos rawatan bapanya yang menghidap kanser telinga sebelum merebak ke mata.

Bapanya meninggal dunia dua tahun lalu.

Berketinggian 1.70 meter, Watson yang mendapat julukan ” Dayak Terbang” pernah bertanding dalam Kejohanan Asia di Fukuoka, Jepun pada 1998 selain menjadi pelari pecut tunggal bertanding dalam acara 50 meter dan 60 meter dalam dewan.

Antara saingan utama Watson ketika zamannya ialah Azmi Ibrahim dari Pahang dan Hamberi Mahat dari Johor. Beliau antara lain, pernah bertanding di Eaubonne, Perancis, Maebashi, Jepun, dan Hanoi, Vietnam.

Bagaimanapun, bercakap kepada Bernama, beliau menyuarakan kekecewaannya tentang sebuah artikel yang mendedahkan status kewangannya serta menyifatkannya sebagai “tidak beretika dan tidak profesional”.

Kata Watson, penulis artikel itu menghubunginya melalui telefon mengenai satu notis muflis yang tersiar dalam ruangan iklan sebuah akhbar tempatan semalam, seperti dipetik Bernama.

“Saya jelaskan kedudukan saya kepada wartawan itu, ia sepatutnya merupakan perbualan antara dua orang kawan dan saya tidak pernah memberi kebenaran kepadanya untuk menyiarkan berita itu. Ia merupakan hal peribadi bagi saya serta keluarga saya dan saya kecewa serta marah kerana dia tidak menghormati privasi saya,” katanya.

Watson, yang ditemani isterinya, Fellizia Michael, berkata penulis itu sepatutnya meminta kebenarannya terlebih dahulu kerana artikel berkenaan boleh menjejaskan kerjayanya sebagai jurulatih dari segi penajaan dan kredibilitinya.

“Paling penting, saya ingin jelaskan sekali lagi di sini bahawa saya tidak pernah memberi kebenaran kepada penulis itu untuk menyiarkan berita berkenaan, ya, kami memang bergelut dari segi kewangan sejak beberapa tahun lepas, tapi kami tidak cuba untuk mengemis simpati,” katanya.

Watson yang dilahirkan pada 27 Februari 1976 berharap penyiaran berita itu tidak menjejaskan Flying Dayak Club, kelab yang ditubuhkannya bagi melatih atlet di negeri ini.

Ketika berkongsi kekecewaan Watson, Felliza memberitahu Bernama,mereka mungkin menimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis berkenaan.

“Dua peguam, seorang dari Limbang dan seorang lagi dari Miri telah menghubungi kami bagi menawarkan khidmat mereka sekiranya kami memerlukan nasihat berkaitan undang-undang. Saya cuba memanggil dan menghubungi penulis itu melalui WhatsApp sejak pagi tadi, tapi dia tidak menjawab atau membalas mesej WhatsApp saya. Inikah yang dikatakan kewartawanan bertanggungjawab?” tanya wanita itu.

Felliza berkata dia dan Watson berusaha untuk menambah pendapatan dengan berniaga buah-buahan berhampiran pusat beli-belah, menjual beg buatan sendiri dan menjelajah ke seluruh negara untuk mengadakan klinik kejurulatihan di sekolah.